Hantar mak ayah pergi umrah!

Selamat pagi semua, entri pertama blog ini saya buat sempena emak ayah yang berangkat ke tanah suci semalam untuk menunaikan umrah.

Cara Mengerjakan Umrah Panduan Terbaik Sebelum Ke Tanah Suci

Saya akan berkongsi satu bab yang tidak kurang pentingnya bagi mendapatkan ibadat umrah yang sempurna.

Ini hanya dapat dicapai dengan cara mengerjakan umrah yang betul. Melalui persiapan yang dilakukan di tanah air sebelum berangkat ke Mekah dan Madinah.

Termasuklah urusan pemilihan harga pakej kembara umrah dan kursus yang ditawarkan.

Kepada kelengkapan yang perlu dibawa kesana.


Mak ayah mengerjakan umrah


Insyaallah ilmu yang bermanfaat akan menjadi pencen kubur kita bersama sekiranya di sebar sebarkan .

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: 

"Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara : sedekah jariah,atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya." 

(Hadith Sahih - Riwayat Muslim dan lain-lainnya) 

Semua ibadat dalam rukun islam memerlukan ilmu dan kefahaman yang mendalam.

Persiapan Mengerjakan Umrah

Seperti solat yang terdiri daripada kombinasi amalan rohani dan jasmani. 

Solat yang khusyuk hanya akan dicapai dengan fokus dan amalan ilmu yang di terjemahkan dalam ibadat sembahyang.

Ibadah Umrah juga merupakan penyatuan spiritual dan fizikal. 

Badan yang sihat dan cergas diperlukan sepanjang bermusafir mengerjakan umrah.

Cuaca dan suhu yang berbeza di sana memerlukan kecergasan tubuh supaya dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran jauh berlainan dengan iklim di Malaysia.

Tambahan pula, kebelakangan ini terdapat pula wabak baru dari timur tengah. MERS atau Middle East Respiratory Syndrome.

Pencegahan awal boleh diambil dengan mengambil suntikan vaksin sebelum kesana.

Kemuncak kunjungan manusia ke Mekah dan Madinah semestinya pada bulan Zulhijjah setiap tahun.

Semasa umat islam disyariatkan mengerjakan haji. Dijangkakan hampir tiga juta manusia berhimpun di baitullah.



Allahuakbar, dalam pakaian ihram serba putih mengelilingi Kaabah.

Memuji Allah SWT yang maha esa dan mengenang hakikat kejadian kita sebagai hambanya yang diciptakan untuk beribadat kepadanya.

Seperti yang di sebut di dalam Al Quran

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Yang membawa maksud: 

“Tidak Aku (Allah) jadikan jin dan manusia, melainkan untuk beribadah (mengabdikan) diri kepada Ku “ 



(Surah Adz Dzariyaat ayat 56)

Dan secara tak langsung memberikan gambaran tentang himpunan umat manusia di padang mahsyar kelak.

Hati siapa yang tidak luruh mengenangkan nasib yang bakal diterima tatkala buku amalan diberikan kepada kita.

Samada melalui tangan kanan atau pun kiri.

Dan beruntunglah kepada mereka yang disapa Allah swt sebagai jiwa jiwa yang tenang. 

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : 

" Wahai jiwa yang tenang dan tenteram kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan redha dan diredhai. 

Iaitu masuklah ke dalam golongan hambaku ( yang soleh ). 

Dan masuklah ke dalam syurgaku". 

Surah Al-Fajr : Ayat 27-30 



Semoga kita tergolong dalam kalangan mereka yang beruntung tersebut.

Antara sebab utama yang mendorong ramai dari kita ke tanah suci mengerjakan umrah ialah untuk memperolehi keampunan dari Allah swt. 

Seperti yang diriwayatkan dari Rasulullah SAW

Satu umrah ke Umrah yang lain merupakan penghapus dosa antara keduanya dan haji yang mabrur tidak ada balasan kecuali Jannah.



(Riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi, Nasa’I, Ibnu Majah dan Asbihani)

Kita boleh lihat sendiri bukan, perubahan yang dilihat dari saudara, sahabat yang baru pulang dari kembara umrah.

Wajah mereka kelihatan tenang lantaran dari kesan ibadat yang didirikan disana.

Suasana disana memang menakjubkan, sangat menggalakkan kita beribadat sehingga hanyut mengabdikan diri kepada tuhan pencipta alam.

Tetapi cabaran utama adalah mengekalkan kesihatan rohani kita sekembalinya ke Malaysia.

Bagi yang berkemampuan, tidak hairanlah mereka nekad untuk kembali semula setiap tahun berikut untuk memperbaharui niat dan azam.

Sekiranya tuan puan ada menyimpan niat untuk mengerjakan umrah, adalah sebaiknya untuk membuat persediaan  sejak 3 bulan dari tarikh yang dijadualkan.

Antara amalan yang baik dilakukan sebelum mengerjakan umrah ialah

1. Menunaikan Solat Istikharah

Dalam satu riwayat mengenai solat istikharah

مَا خَابَ مَنِ اسْتَخَارَهُ وَلاَ تَدِمَ مَنِ اسْتَشَارَ وَلاَ عَالَ مَنِ اقْتَصَدَ ـ الطبراني


Ertinya : 


Tidak rugi orang yang melakukan istikharah dan tidak akan menyesal orang yang selalu bermesyuarat dan tidak akan miskin orang yang selalu bersederhana.

Mengapa perlu istikharah sebelum pergi menunaikan umrah?


Oleh kerana jauhnya perjalanan dan pemergian kita mengambil masa yang agak panjang, sedikit sebanyak hati kita akan berasa risau akan kebajikan keluarga yang ditinggalkan.


Sekiranya pergi bersama isteri, bagimana pula dengan anak anak. 


Menyakini kelebihan yang ada pada solat istikharah dalam urusan hati yang sentiasa berbolak balik.


Sama sama lah kita mohon kepada Allah swt untuk dikurniakan petunjuk dan jalan keluar.

Insyaallah, setiap keputusan yang melibatkan Allah swt akan memperolehi keberkatan.


Jadi, berdoalah kepada Allah swt supaya
  1. Keluarga yang ditinggalkan akan selamat semasa pemergian. Terlindung dari segala kecelakaan.
  2. Pakej umrah yang diambil dari agensi bertanggungjawab berbaloi. Memberikan kesempurnaan ibadat umrah dan terutama sekali tidak terjerat dalam penipuan tawaran pakej umrah
  3. Ibadat umrah yang dilakukan akan diterima oleh Allah SWT
Sambil sambil melaksanakan solat istikharah, elok kita buat persiapan fizikal. 

Secara umumnya, ibadat haji dan umrah memerlukan banyak tenaga.


Ibadat tawaf melibatkan berjalan mengelilingi kaabah.


Saie pula memerlukan kita berlari lari anak. Melontar jamrah juga memerlukan badan yang sihat.

Selalunya, kesihatan fizikal dikaitkan dengan senaman. Sebelum ke sana lazinkan bersenam untuk menambahkan stamina.



Satu lagi perkara yang boleh dilakukan ialah mengamalkan diet yanng sihat.


Makan berpada pada dan kekalkan berat badan ideal.


Bukankah semua penyakit berasal dari perut?


"Kami adalah kaum yang tidak akan makan kecuali apabila lapar dan apabila kami makan tidak sampai terlalu kenyang." 

Hadis Abu Daud

Ada di riwayatkan bahawa Rasulullah saw, telah mengajar cara untuk makan dan minum dengan membahagikan perut kepada tiga bahagian. 

iaitu sepertiga bahagian perut untuk makanan. 

Satu pertiga lagi untuk minuman dan satu pertiga akhir adalah untuk udara /nafas.

Bagi menjamin badan kita sihat semasa mengerjakan umrah, Tuan Puan eloklah 

2. Pemeriksaan Kesihatan.

Memang kita digalakkan membuat pemeriksaan kesihatan menyuruh secara berkala untuk mengetahui tahap kesihatan semasa.

Bagi yang belum pernah buat lagi, memang digalakkan untuk membuat temujanji dengan doktor bertauliah berdekatan.

Bagi yang mempunyai kemudahan kad perubtan daripada majikan atau peribadi, ada sesetengah syarikat takaful yang menawarkan pelan pemeriksaan kesihatan.


Boleh tujuk dengan agen takaful atau pihak HR masing masing.


Kalau ada, anda dah jimatkan perbelanjaan. Harga pakej berbeza mengikut tempat.


Jadi,sekiranya perlu keluarkan duit dari poket sendiri memang wajar untuk bandingkan harga.


Cuba tanya tanya kenalan yang pernah buat. Insyaallah, sambil sambil bertanya khabar boleh bertanya tentang ini kan.


Sama samalah kita menjaga kesihatan yang ada. Benarlah seperti apa yang diriwayatkan


”Dua nikmat yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia (iaitu) kesihatan dan masa lapang”.

Doktor akan memberikan khidmat nasihat tentang keadaan semasa kita.


Sama ada cukup sihat untuk berangkat menunaikan umrah ataupun perlukan rawatan susulan.

2.  Dapatkan Konsultasi Doktor


Bergantung pada hasil pemeriksaan kesihatan menyeluruh, bagi yang sihat Alhamdulillah.


Sekiranya laporan menunjukkan Tuan dan Puan mempunyai masalah kesihatan yang boleh menjejaskan kesihatan sekiranya pergi mengerjakan umrah, seeloknya pergi berjumpa doktor untuk khidmat nasihat.

Penghidap penyakit sepertikencing manis, sakit jantung, darah tinggi, lelah dan sebagainya memerlukan perhatian yang lebih.


Bawa bekalan ubatan yang diperlukan dari Malaysia lagi.

Ini untuk memudahkan urusan disana. Mutu dan kualiti perkhidmatan kesihatan disana juga berbeza berbanding di Malaysia.


Dari segi harga, klinik disana lebih mahal berbanding Malaysia.


Dengan persediaan awal, banyak sumber tenaga dan masa dapat di jimatkan.


3.  Latihan Kecergasan


Tawaf. Mengelilingi Kaabah sebanyak beberapa kali untuk melengkapkan rukun umrah.


Bunyinya seperti mudah, terutama sekiranya usia masih muda belia.

Bagaimana pula untuk tetamu Allah swt yang telah berusia. 


Tentu berbeza keadaannya bukan?


Semasa mengerjakan tawaf, kita mempunyai pilihan untuk menggunakan laluan bawah atau pun atas.


Laluan bawah lebih dekat, namun pada kebiasaannya ia lebih sesak.


Jadi memang pada kebiasaannya anda terpaksa berhimpit himpit dengan jemaah yang lain.


Di sana, pelbagai bangsa ada. Saiz mereka juga berbeza. Bangsa seperti Turki dan Eropah mempunyai saiz badan yang besar.


Lapang atau tidak kawasan sekeliling kaabah banyak bergantung pada bulan bulan tertentu. 


Bulan Ramadhan dan Zulhijjah memang ramai ke sana. Kerana fadhilat / kelebihan yang besar pada bulan tersebut.


Jika kita memilih untuk menggunakan laluan atas. Berita baiknya ialah laluannya lebih lapang.


Namun, jarak yang lebih panjang diperlukan untuk melengkapkan satu pusingan tawaf.


Satu pusingan diatas menyamai hampir 3 kali pusingan dibawah. 


Semestinya apa yang kita lakukan disana dikira sebagai ibadah. Jauh dekat dan kesukaran yang dilalui insyaallah akan menerima ganjaran dari Allah swt.


Sekiranya ia dilakukan dengan niat yang ikhlas.


Semua ini memerlukan tenaga dan kudrat yang tinggi. Bagi mempersiapkan diri, eloklah kita bersenam dan beriadah menurut kemampuan masing masing.


Jantung yang sihat dan sistem peredaran darah yang baik sangatt diperlukan.


Satu tips untuk mereka yang mempunyai masalah kesihatan, pilihlah pakej umrah yang memberikan penginapan yang berhampiran dengan Kaabah.


Memang harga pakej ini agak mahal berbanding pakej biasa.


Namun sekiranya anda berkemampuan dan ingin menumpukan kepada ibadat disana, gunakan kelebihan yang ada dari segi kemampuan kewangan.


Pakej Hilton yang menawarkan penginapan di Hotel Hilton mempunyai jarak yang sangat hampir dengan Masjidil Haram.


Berjalan kaki sekejap sahaja sudah pun sampai.

Pakej berbeza akan memberikan pengalaman berbeza. 

Semua perjalanan bagi ibadah dibawah akan dilakukan dengan berjalan kaki.
  1. Jarak ke Masjidil Haram antara 800 – 1,500 meter
  2. Jarak untuk Tawaf mengelilingi Kaabah sejauh 500 meter – 1 kilometer
  3. Jarak Bukit Safa ke Marwah lebih kurang 420 meter dan apabila mengerjakan ibadah Saie, akan berulang alik 7 kali sejauh 2, 940 meter (hampir 3 kilometer)
  4. Melontar Jamrah, terpaksa melalui terowong sepanjang 3.5 kilometer. Jika duduk di Mina Mu’assir, dalam 5 – 7 kilometer ke jamrah. 
  5. Ada 3 jamrah yang perlu dilalui 4 hari berturut-turut 
  6. Jarak antara Jamrah Ula dengan Jamrah Wusta adalah 247 meter.
  7. Jarak antara Jamrah Wusta dan Kubra kira-kira 200 meter.
Harus diambil perhatian, jarak jarak dilalui ini bukan pada jalan yang kosong tanpa manusia.


Tetapi pada laluan yang sibuk dengan pelbagai kegiatan.


Boleh bayangkan betapa banyak tenaga yang diperlukan?


Jadi mari sama sama kita berusaha meningkatkan kecergasan untuk keselesaan disana kelak.


Alah bisa tegal biasa.

4.  Cuaca Siang Yang Panas Membahang Dan Malam Yang Dingin


Negara kita Malaysia memang panas dan lembap sepanjang tahun.


Suhu disini sekitar 25~35 darjah celcius pada kebiasaannya.

Jika dibandingkan dengan cuaca di Arab Saudi yang sangat panas dan kering pada siang hari dan sejuk dingin pada malam hari.

Suhu siang hari sekitar 40~50 darjah celcius. Ditambah pula dengan angin kering panas.


Suhu malam hari boleh jatuh serendah 10 darjah celcius. Memang sejuk.


Tapi kan.. Bukankah kita tinggal di hotel? Kenapa nak risau tentang suhu sejuk?


Memang benar, kita tinggal di hotel, bagi mereka yang ingin merebut ganjaran yang diberikan oleh Allah swt untuk solat Subuh dan Insya berjemaah di Masjid.


Seperti Hadith dari Rasulullah SAW




من شهد العشاء فكأنما قام نصف ليلة, ومن شهد الصبح فكأنما قام ليلة رواه مسلم.


Orang yang ikut shalat Isya’ (berjmaaah), seolah-olah telah shalat setengah malam. Orang yang ikut shalat shubuh (berjamaah), seolah-olah dia telah melaksanakan shalat sepanjang malam (qiyamullail). 

(HR Muslim)

Ditambah pula kelebihan solat sunat sebelum subuh yang dari hadis riwayat Imam at-Tirmizi: 


“Dari Aisyah telah bersabda Rasulullah SAW, dua rakaat solat Fajar pahalanya lebih indah daripada dunia dan seisinya.”



Diriwayatkan dari Sayyidah Aisyah R.A., beliau berkata:


"Tidak ada solat sunat yang lebih diperhatikan Rasulullah SAW selain solat sunat sebelum Subuh"

(HR Al-Bukhari)

Itu ganjaran bagi solat yang dikerjakan di luar Mekah dan Madinah.


Bagaimana pula sekiranya menunaikan solat tersebut di Mekah dan Madinah?


Dari  Jabir Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda 


"Satu sembahyang di masjidku lebih afdhal daripada 1 000 sembahyang di masjid-masjid yang lain kecuali Masjidil Haram di Mekah dan satu sembahyang di Masjidil Haram pula lebih afdhal daripada 100 000 sembahyang di masjid-masjid yang lain."

Allahu Akbar. Sanggupkah kita mensia siakan peluang yang diberikan.


Selepas mengetahui segala kelebihan yang ada. Masa kita sangat terhad disana.


Ayuh kita kaut sebanyak mungkin untuk bekalan akhirat.


Entah bila lagi kita akan berpeluang menjejakkan kaki ke tanah yang diberkati ini.


5.  Kesempurnaan Ibadat Dengan Menuntut Ilmu

Baru tadi kita membongkarkan kelebihan dan ketinggian solat di Mekah dan Madinah.

Dapatkah kita mengetahui semua ini tanpa ilmu?

Suddah tentu tidak bukan.


Ibadat tanpa ilmu tidak akan sempurna. Jadi tuntutlah ilmu sebelum berangkat kesana.


Agar kita tidak terlepas semua kelebihan yang ada.


Daftarlah diri ke dalam kelas khas untuk bakal jemaah umrah dan haji.


Dan pastikan ustaz dan tenaga pengajar tersebut layak dalam bidang tersebut.


Sesetengah pengendali umrah dan agensi berkenaan menawarkan kursus umrah dan haji percuma bagi semua pelanggan mereka.

Jadi, pastikan anda Tuan Puan yang arif lagi bijaksana memilih pakej umrah dengan bijak.


Adalah sangat merugikan selepas kita berkorban harta tenaga dan masa untuk menunaikan umrah.


Tapi kita tidak mendapat kelebihan yang ditawarkan disana.


Umpama orang yang berpuasa, tetapi tidak mendapat apa apa kecuali lapar dan dahaga.


Jangan biarkan tragedi ini berlaku. Ambil pengajaran dari kesilapan mereka yang terdahulu.

6.  Hayati Sejarah Umrah Dan Ilmu Tambahan Dari Buku Berkaitan

Sangat berbeza kualiti ibadat yang dilakukan dengan mengetahui sejarah disebalik setiap amalan tersebut.


Kita bukan kesana untuk melancong. Malah sebenarnya sedang melawat lokasi dimana banyak peristiwa bersejarah berlaku.



Dari sini kita dapat menghayati pengorbanan yang telah di berikan oleh junjungan besar Rasulullah SAW dan para sahabat dalam menyebarkan agama islam yang kita anuti ini.


Kita akan dibawa ke lokasi perang badar, gunung uhud dan banyak tempat lain.


Terdapat banyak hikmah yang dapat diperolehi sekiranya minda kita berfikir dan mendalami perjalanan yang bakal dilalui ini.


Allah SWT telah berfirman di dalam Al Quran


“Di Baitullah terdapat bukti-bukti sejarah yang meyakinkan, antaranya tempat peribadahan Ibrahim; Sesiapa yang masuk ke sana, maka ia selamat.” 

Surah Al-Imran; Ayat 97

7.  Dekatkan Diri Dengan Al Quran

Membaca al quran akan memberi kesan kepada hati pembacanya.


Lazimi membacanya setiap hari.

Bagi yang masih mempunyai masalah dalam hukum tajwid, bergurulah secara bersanad supaya kita dapat melancarkan bacaan.


Dengan ini, kita akan lebih berpeluang mengkhatam al quran disana.


Sekiranya kita masih merangkak rangkak membaca kitab Allah ini, peluang untuk khatam disana agak sukar bukan.

8.  Fahami Dan Hafazkan Doa Dari Hadith Dan Alquran

Di dalam al quran dan hadith Rasulullah SAW terdapat banyak doa yang sangat baik untuk diamalkan.


Dan sebaik baik doa adalah dari kedua dua sumber ini.

Doa yang dilafazkan dalam bahasa arab dengan memahami maksudnya dengan mendalam lebih memberi kesan.


Di riwayatkan yang bermaksud:


“Berdoalah kamu kepada Allah dalam keadaan kamu yakin dimakbulkan dan kamu ketahuilah bahawa Allah tidak akan memakbulkan doa dari hati yang lalai serta bermain-main (dengan apa yang dipohon atau sibuk dengan urusan selain Allah Ta‘ala).”

Hadits riwayat at-Tirmidzi


Latihan yang kerap akan menjadikan lidah kita fasih dan hati kita khusyuk semasa berdoa di hadapan Kaabah.

Berdoalah dengan penuh pengharapan dan tawadhuk agar ia diterima oleh Allah.

9. Jinakkan Hati Ke Masjid Dan Surau

Sebelum kita pergi jauh, mari sama sama kita jawab soalan ini.


"Bagaimana kita mahu dapat yang terbaik semasa bulan ramadhan?"

Bulan ramadhan pesta ibadat. Madrasah untuk melatih diri kembali kepada fitrah kejadian manusia.


Segala pintu buka di buka seluas luasnya. Rahmat melimpah ruah. 


Persekitaran berubah menjadi lebih baik. Surau yang dahulu sepi kini meriah dengan pelbagai program pengisian.


Namun, untuk kita meraih ganjaran penuh yang di sediakan oleh Allah swt, persediaan rapi perlu dibuat lebih awal lagi.


Masih ingat lagi doa ini? 


اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانٍ وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ

"Ya Allah berkatilah hidup kami dibulan Rejab dan Syaaban, dan sampaikanlah usia kami sehingga bulan Ramadhan."

Kita mula membacanya seawal bulan rejab. Disusuli Syaban dan akhirnya Ramadhan.



Satu petunjuk untuk membuat persediaan awal sejak dari bulan Rejab lagi untuk membiasakan diri memperbanyakkan amalan sunat seperti puasa.


Dan ibadat malam. 


Agar semasa bulan Ramadhan nanti ia telah pun menjadi satu rutin dan tidak sukar untuk kita memecut laju memungut hasil yang telah kita semai di bulan Rejab.


Dan di jaga rapi di bulan Syaban.


Sama juga dengan umrah dan haji, bagi mendapat ganjaran penuh perlukan latihan awal.


Benih benih amalan perlu di semai dan dipupuk rapi seawal mungkin.


Rajin rajinkan diri mengunjungi masjid dan surau untuk menunaikan solat berjemaah di sana bagi lelaki.


Bagi wanita, solatlah diawal waktu yang mungkin. 


Kita perbaiki mutu amalan ibadat agar umrah yang dilakukan akan terbaik mutunya.

Betapa besarnya ganjaran yang diberikan kepada orang muda yang hatinya cenderung di masjid.


Dalam sebuah riwayat yang panjang


“Sebilangan manusia yang dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah"

Di antaranya ialah: 

Pemerintah yang adil

Pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada Tuhannya

Orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid

Dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah

Orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu dengannya lalu ia menolak dengan berkata: “Aku takut kepada Allah!”

Orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya

Dan orang yang menyebut atau mengingat Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah.” 

(HR. Abu Daud dan Ibnu Majah)

Dihari tiada lagi perlindungan dan naungan diberikan kepada umat manusia, semasa semua orang sibuk mengira amalannya yang sedikit.


Hari dimana talian persaudaraan tidak lagi penting. 


Tetapi dek kerana amalan di dunia inilah yang bakal menyelamatkan kita di Mahsyar kelak.


Persoalannya, sekiranya kita tidak mula melatih diri untuk menjinakkan hati ke masjid.


Terutama semasa waktu solat Isya' dan subuh secara berjemaah, bagaimana kita mampu untuk melakukannya semasa umrah kelak?


Jawapannya ada pada diri kita sendiri bukan.


Jom ke masjid mulai sekarang.

10.  Gandakan Solat Sunat Setiap Hari


Terdapat banyak jenis solat sunat yang boleh dilakukan oleh kita sepanjang hari.


Ada yang bergantung kepada waktu waktu tertentu seperti solat dhuha dan solat sebelum waktu subuh.

Dan solat yang tidak terikat kepada waktu seperti solat hajat dan solat taubat.


Biasakan diri menunaikan solat ini kerana kelebihan yang ada pada setiap satu darinya.


Solat taubat dilakukan untuk menyesali dosa dosa yang telah lau.


Solat Dhuha dilakukan pada waktu dhuha untuk meraih keberkatan rezeki dan banyak lagi.


Semoga amalan amalan sunat ini akan menjadikan hati kita lebih bersih dan tunduk patuh kepada tuhan pencipta alam semesta.

11. Meninggalkan Nafkah Untuk Keluarga Sepanjang Kembara Umrah

Bagi para suami yang mendapat peluang berangkat menunaikan umrah secara berseorang, menjadi tanggungjawab memastikan nafkah untuk keluarga mencukupi.


Agar makan minum mereka terjaga dan segala keperluan mencukupi.

Barulah kita dapat fokus pada ibadat umrah yang dilakukan.


Wang nafkah mestilah daripada sumber yang halal untuk keberkatan.

12.  Wasiat Dan Status Hutang

Betapa beratnya urusan hutuang, sehinggakan ayat mengenai hutang merupakan ayat terpanjang di dalam al quran.


Tunaikanlah hutang mustahak sebelum berangkat pergi ke tanah suci.


Dan sediakan wasiat kepada keluarga dan waris tentang status hutang yang masih tertangguh.



Agar mereka dapat menyelesaikannya sekiranya sesuatu yang tidak diingini berlaku sepanjang mengerjakan umrah.

13. Wang Yang Halal

Harus diingat, semua perbelanjaan untuk megerjakan umrah mestilah daripada sumber yang halal. 


Hanya wang yang halal saja akan memastikan ibadat yang dilakukan di terima oleh Allah SWT.


Ini jelas di nyatakan oleh Rasulullah SAW dalam satu hadith.


Tentang seseorang yang sedang dalam perjalanan panjang (musafir), rambutnya kusut dan berdebu. 

Dia berdoa sambil menadahkan tangannya ke langit, dia berucap: 

Ya Rabbi, Ya Rabbi, sementara makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dia dikenyangkan dengan makanan yang haram.

Lalu bagaimana mungkin doanya dimakbulkan. 

Riwayat Imam Muslim

Tiap tiap sesuatu daripada harta yang haram sudah tentu tidak akan mendatangkan keberkatan.


Walaupun kita menggunakan pakej umrah VIP yang paling mahal dan terbaik.


Berusahalah dari jalan yang halal. Insyaallah umrah kita akan diterima.

Dari Abu Hurairah r.a.; 

Rasulullah ﷺ telah bersabda: 

“Sesungguhnya Allah Ta’ala itu baik, dan tidak akan menerima (sesuatu amalan) melainkan yang baik.”

14. Berdoa Dan Menyimpan Niat Mencium Hajarul Aswad

Sambil sambil buat kajian tentang artikel ini, terbaca pengalaman dari blogger blogger lain tentang pengalaman mencium Hajarul Aswad.

Batu dari syurga ini seperti di riwayatkan didalam sebuah hadis

Dan kenapa ‘Umar mencium/mengecup Hajar Aswad yang dikatakan dalam hadits yang shahih:

الْحَجَرُ اْلأَسْوَدُ مِنَ‏‎ ‎الْجَنَّةِ

“Hajar Aswad (batu) dari surga.” 

 Shahihul Jami’, no. 2174


Bukan mudah untuk kita mendapat peluang berasak asak dengan jemaah lain bagi menatap dan mencium batu ini.


Teruskan berusaha walaupun kelihatan seperti tidak ada harapan di hujung sana.


Kerana Allah SWT maha pemberi rezeki, dan Maha berkuasa kepada hambanya.


Telah di riwayatkan sebuat hadith dari ’Abis bin Rabi’ah, ia berkata, 


“Aku melihat Umar ibnul Khaththab radhiyallahu ‘anhu mengecup Hajar Aswad dan berkata:

إِنِّي لَأَعْلَمُ أَنَّكَ حَجَرٌ‏‎ ‎لاَ تَضُرُّ وَلاَ تَنْفَعُ،‏‎ ‎فَلَوْلاَ أَنِّي رَأَيْتُ‏‎ ‎رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ‏‎ ‎عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُقَبِّلُكَ‏‎ ‎مَا قَبَّلْتُكَ

“Sungguh aku tahu engkau adalah sebuah batu, tidak dapat memberikan mudarat dan tidak dapat memberi manfaat. Seandainya aku tidak melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam mencium/mengecupmu niscaya aku tidak akan menciummu.” 

Apa makna ucapan ‘Umar Al-Faruq radhiyallahu ‘anhu, 

“Seandainya aku tidak melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam mencium/mengecupmu niscaya aku tidak akan menciummu.”



Shahih At-Targhib wat Tarhib


Sama sama kita simpan niat dari Malaysia lagi untuk ke sana dan menciumnya.Tamat sudah perkongsian kita untuk kali ini. Semoga panduan dan cara mengerjakan umrah sebelum berangkat ke sana yang telah disampaikan ini membawa manfaat.


Masihkah ada hajat yang belum kesampaian tahun ini? Jika belum sama sama kita muhasabah diri untuk mengambil pelajaran dari perkara silam.
soalan popular umrah haji

Kali ini, kita akan membincangkan topik soalan popular mengenai umrah.

Bagi yang merancang untuk mengerjakan umrah pada tahun 2019 ini, memang eloklah baca artikel ni.


kelengkapan umrah untuk wanita
Kuasa tindakan dan impian
Sedikit sebanyak terjawab persoalan yang bermain di fikiran. Dan pada masa yang sama boleh buat persiapan hotel dan menyediakan kelengkapan umrah yang diperlukan.

1. PENGERTIAN UMRAH

           
Soalan: 
Apakah perbezaan diantara dua perkataan HAJI & UMRAH?

Jawapan:

Haji ialah mengunjungi Baitullah Al-Haram di Makkah pada bulan-bulan Haji untuk mengerjakan ibadat-ibadat tertentu menurut syarat-syaratnya.

Umrah lah mengunjungi Baitullah Al-Haram di Makkah pada bila-bila masa  untuk mengerjakan ibadat-ibadat tertentu menurut syarat-syaratnya.

Perbezaan yang jelas diantara kedua-duanya ialah:

perbezaan umrah dan haji
Perbezaan umum umrah dan haji

Seperti yang dijelaskan dalam jadual di atas, Haji cuma boleh dilakukan pada bulan haji sahaja.

Umrah pula boleh dilakukan sepanjang masa.

Bilangan ibadat yang perlu dilakukan semasa umrah juga sedikit berbanding ibadat haji kerana umrah tidak mempunyai
  1. Wuquf di Arafah
  2. Bermalam di Mina
  3. Bermalam di Mudzalifah
  4. Melontar Jamrah
Pilihlah pakej umrah yang sesuai untuk anda. Samada pergi berseorangan, berkumpulan atau bersama keluarga.


2.  HUKUM MENUNAIKAN HAJI DAN UMRAH

Soalan: 
Apakah hukum mengerjakan Haji dan Umrah?

Jawapan:

Kedua-duanya adalah WAJIB dikerjakan sekali seumur hidup. SUNAT dikerjakan berulang-ulang kali.

Kerana masih ada salah faham di kalangan masyarakat kita tentang hukum umrah sekadar sunat dan tidak wajib.

Sama samalah kita berusaha mengerjakannya selagi hayat masih ada.

Simpan niat dan berusaha bersungguh sungguh. 


3.  SYARAT UNTUK MENGERJAKANNYA

Soalan:
Siapakah yang difardhukan HAJI & UMRAH?
Jawapan:

Haji & Umrah difardhukan keatas setiap orang yang:

  1. Islam
  2. Baligh
  3. Akal yang waras
  4. Merdeka (bukan hamba)
  5. Berkemampuan dan berkuasa samada lelaki dan wanita


4. HAJI KANAK-KANAK

Soalan:
4.1 Apakah hukum Haji dan Umrah kanak-kanak yang belum baligh?
Jawapan:

Tidak wajib ke atas kanak-kanak yang belum baligh menunaikan Haji dan Umrah.

  1. Jika kanak-kanak yang mumayyiz (waras akalnya hingga pandai membezakan antara kotor dan bersih)
  2. tahu kerja-kerja Haji & Umrah serta melakukannya sendiri
Maka Haji dan Umrahnya sah tetapi tidak menggugurkan fardhu Haji & Umrah pada dirinya. 

Ia boleh berniat Haji & Umrah bagi dirinya dengan syarat diizinkan oleh bapa atau walinya.

Jika kanak-kanak itu belum mumayyiz dan ada bersama-sama bapa atau walinya, maka bapa atau walinyalah  yang meniatkan dan melakukan kerja-kerja Haji dan Umrah kanak-kanak itu.

4.2.Soalan: Bagaimana bapa atau wali berniat dan melakukan kerja-kerja Umrah bagi kanak-kanak yang belum mumayyiz?

Jawapan:

Cara bapa atau wali berniat dan melakukan kerja-kerja Umrah bagi kanak-kanak yang belum mumayyiz adalah seperti berikut:

a) Niat:

Bapa atau wali hendaklah berniat dalam hatinya dengan menjadikan anak tanggungannya berihram. 

Lafaz niatnya:
Aku berniat mengerjakan Umrah untuk anakku/ tanggunganku dan aku berihram dengannya kerana ALLAH Taala.

b) Menyempurnakan rukun dan wajib-wajib Umrah: 

Anak / tanggungan itu hendaklah dibawa bersama untuk berniat di Miqat. 

Manakala Tawaf dan Sa’ei dan dilaksanakan dulu oleh bapa atau walinya. Kemudian dilaksanakan pula oleh kanak-kanak tersebut.

c) Penjagaan larangan dalam Ihram:

Bapa atau wali wajib menjaga anak / tanggungannya dari melakukan perkara-perkara yang dilarang dalam Ihram. 

Jika kanak-kanak itu (yang belum mumayyiz) melakukan perkara-perkara yang dilarang dalam Ihram, tidak dikenakan Dam. 

Tetapi bagi kanak-kanak yang mumayyiz wajib dibayar Damnya.

4.3 Soalan:  Apa hukum Haji yang dilakukan oleh kanak-kanak? Adakah ibubapa yang melakukan hajinya mendapat pahala?

Jawapan:

Haji yang dilakukan oleh kanak-kanak itu adalah Haji sunat. 

Tidak menggugurkan Haji fardhunya. 

Ini bererti, apabila dia sudah baligh, dia WAJIB mengerjakan Haji fardhunya. 

Ibu atau bapa yang melakukan Haji anaknya mendapat pahala berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Isa Al-Tarmizi:


  عن جابر بن عبد الله قال: رفعت امرأة صبيا لها إلى رسول الله 

ص فقالت: يا رسول الله ألهذا حج؟ قال : نعم ولك أجر

Seorang wanita menunjukkan anak lelakinya kepada Rasulullah saw lalu berkata: “Adakah baginya Haji wahai Rasulallah?”  Rasulullah saw menjawab, “ Ya baginya Haji dan bagimu pahala”


5. KEMAMPUAN MENUNAIKAN UMRAH DANN HAJI

5.1.Soalan: Apa erti berkemampuan dalam Ibadah Umrah atau Haji?
Jawapan:

Berkemampuan bermaksud mampu menunaikan fardhu Haji atau Umrah samada dengan dikerjakannya sendiri atau dengan pertolongan orang lain.

5.2.Soalan: Apakah yang dimaksudkan berkemampuan dengan sendirinya?

Jawapan:

a) Mampu mengadakan bekalan dan perbelanjaan untuk diri dan saraan nafkah mereka yang didalam tanggungannya dan yang ditinggalkan olehnya.

b) Mampu mendapatkan kenderaan untuk pergi dan balik.

c) Aman perjalanan bagi diri dan harta (seperti tiada gangguan musuh atau wabak penyakit)

d) Sihat tubuh badan.

e) Berkesempatan masa untuk mengerjakan Haji and Umrah.

5.3.Soalan: Apakah maksud berkemampuan dengan pertolongan orang lain?

Jawapan:

Berkemampuan dengan pertolongan orang lain bermaksud seseorng itu telah cukup semua syaratnya untuk mengerjakan Haji atau Umrah.

Tetapi dia uzur kerana sakit yang tiada harapan sembuh atau terlalu tua dan orang yang telah meninggal dunia yang mampu mengerjakan Haji atau Umrah semasa hayatnya.

Maka mereka boleh mewakilkan kepada orang lain untuk menunaikan fardhu Haji atau Umrah bagi pihak dirinya.

5.4.Soalan: Adakah orang buta wajib keatasnya menunaikan Haji atau umrah sekiranya tiada yang membantunya?

Jawapan:

Tidak wajib orang buta menunaikan fardhu Haji atau Umrah kecuali ada pembimbing dan dia berkemampuan membayar perkhidmatan pembimbing tadi

5.5.Soalan: Adakah tertunai Rukun Islam yang kelima bagi seseorang yang belum mampu menunaikan Haji atau Umrah tetapi dengan pertolongan anak-anaknya beliau dapat menunaikan fardhu Haji atau Umrah?

Jawapan:

Sah Haji dan Umrahnya serta dikira telah tertunaiRukun Islam yang kelima.


6. MASALAH BERHUTANG

6.1.Soalan: Adakah wajib bagi seseorang yang telah cukup syarat menunaikan Haji atau Umrah tetapi masih mempunyai hutang?

Jawapan:

Dia hendaklah membayar hutangnya terlebih dahulu. 

Jika baki wangnya mencukupi untuk menunaikan Haji atau Umrah maka wajib baginya menunaikan Haji atau Umrah.
6.2.Soalan: Adakah harus seseorang menunaikan Haji atau Umrah melalui pembiayaan atau pinjaman institusi kewangan?

Jawapan:

Harus bagi orang yang berhutang melalui skim penjaman wang daripada institusi kewangan untuk menunaikan fardhu Haji atau Umrah sekiranya diyakini mampu membayar balik hutang tersebut.

Dan tidak menjejaskan kehidupan normal seseorang. 

Walaubagaimanapun ia tertakluk pada syarat-syarat berikut:

  • Tiada unsur Riba
  • Mempunyai pendapatan yang melebihi sara hidup dirinya serta orang yang didalam tanggungannya bagi melunaskan hutang dan perbelanjaan mengerjakan Haji atau Umrah
  • Kemudahan itu diambil atas dasar menyegerakan perintah ALLAH Taala.



Semoga panduan ini membantu anda sedikit sebanyak dalam menunaikan ibadah anda.left-sidebar
Previous Post Next Post